Thursday, February 28, 2008

jaTuh ciNta LaGi..??

Jatuh cinta sekali lagi? Oh, tidak! Untuk apa? Membiarkan diriku menjadikan korban demi satu kebahagiaan yang aku pasti bukan hakiki. Bukan sengaja aku ingin menjauhkan diri daripada sesiapa, namun untuk disakiti dan menyakiti bukan lagi sifatku. Pada saat-saat aku begitu memerlukan seseorang untuk disandarkan, pada ketika itu jualah aku ditinggalkan menderita keseorangan. Aku hanya bernasib baik masa itu, kerana mempunyai teman-teman yang setia di sisi. Tetapi, bagaimana pula sekarang? Bagaimana sekiranya aku disakiti untuk kesekian kalinya? Sahabat semuanya sudah pun jauh di mata. Meskipun dekat sekali di hatiku ini, mampukah aku bertahan? Berjaya atau tidak sesuatu hubungan itu, aku tetap juga akan diletakkan kesalahan di bahu kecilku ini. Aku juga manusia biasa, tetap juga mempunyai kecacatan aku. Aku bukanlah sesempurna mana jika mahu dibandingkan dengan sesiapa. Jujur aku akui, rasa sayang bertunas jauh di lubuk hati. Namun, untuk dibajai dengan perasaan rindu lalu berkembang menjadi bunga-bunga cinta itu, mungkin mustahil buatku, untuk masa sekarang. Aku tidak peduli dengan masa lalu, apatah lagi waktu yang mendatang. Aku hanya cukup kenal dengan masa sekarang, untuk dinikmati sebaik-baiknya,sebelum segala rasa nikmat milik Tuhan yang Maha Esa itu, dikembalikan kepada-Nya. Namun, pada ketika keputusan peperiksaanku bakal dilaungkan, aku hanya mampu menyogok hatiku dengan rasa sabar. Semoga aku berupaya dalam menguatkan langkah kakiku menempuhi segala ranjau nan berduri kehidupan ini,yang dimulai dengan nama Tuhanku, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

No comments: